Thursday, July 22, 2010

Struktur Dalaman Bumi Kita

Tahukah anda bagaimana struktur bumi dan apakah kandungan utama dalam perut bumi kita?

Persoalan sebegini sudah semestinya pernah terfikir oleh kita. Kajian mengenai kandungan bumi dijalankan oleh ahli geologi. Bidang geologi yang terlibat dalam kajian ini dinamakan sebagai volkanologi dan seismologi. Dari pentafsiran data seismik, bumi mempunyai 3 struktur utama iaitu kerak, mantel dan teras. Ketiga-tiga struktur tersebut mempunyai ketebalan yang berbeza-beza dan terbina daripada beberapa jenis batuan yang juga berbeza-beza. Kedalaman bumi atau jejari bumi sehingga ke pusatnya adalah dianggarkan 6,378km.

Kerak bumi

Ketebalan kerak bumi adalah kira-kira 100km. Mempunyai dua lapisan batuan utama iaitu batuan granit atau garnitoid, batuan metamorf, batuan enapan di bahagian atas (termasuk permukaan bumi) dan batuan basalt di bahagian bawah. Pengerudian paling dalam yang pernah dilakukan oleh manusia adalah sedalam 12km yang dilakukan di Semenanjung Kola, Russia dalam projek penjelajahan dasar laut.

Mantel

Sempadan yang memisahkan kerak bumi dan mantel dikenali sebagai Ketakselanjaran Mohorovicic. Mantel terbahagi kepada 3 lapisan iaitu mantel atas (~400km), zon perantaraan (~600km) dan mantel bawah (~1800km). Kunci kepada masalah bumi seperti asal usul magma, gunung berapi, gempa bumi dan hanyutan benua terdapat dibahagian mantel atas dan zon perantaraan. Pengecaman bahan-bahan mantel dibuat berdasarkan sampel yang diambil dari lava gunung berapi yang kemudiannya diuji di makmal (dengan suhu dan tekanan seperti yang terdapat pada kedalaman kira-kira 400km). Dari ujikaji, didapati bahawa bahan mantel terdiri daripada dua batuan sahaja iaitu batuan dunit dan peridotit sahaja. Batuan ini terdiri dari mineral silikat magnesium-besi yang selalunya mengandungi berlian. Magma di Hawaii berasal dari kedalaman 60km manakala kewujudan berlian adalah dari kedalaman lebih dari 100 km. Kandungan batuan dalam mantel bawah adalah homogen dan lebih padat dengan mineral ilmenit dan periklas. Perlu diingatkan bahawa sesuatu batuan itu adalah terbina dari gabungan beberapa jenis mineral.

Teras

Teras bumi terbahagi kepada dua bahagian iaitu teras luar dan teras dalam. Kandungan utamanya adalah nikel dan besi di mana berbentuk cecair pada teras luar dan pepejal pada teras dalam. Perolakan besi dalam teras cecair memainkan peranan yang penting terhadap penghasilan medan magnet bumi. Kebanyakkan tahi bintang atau komet adalah terdiri daripada campuran nikel-besi dan ini memberikan gambaran bahawa serpihan-serpihan tersebut mungkin berasal dari beberapa buah planet yang telah termusnah.

Dari kajian sains ini, terbuktilah bahawa struktur dalaman bumi terbahagi kepada 7 lapisan seperti yang tersebut dalam kitab suci Al-Quran. Allah maha besar lagi maha mengetahui.

No comments: