Thursday, February 18, 2010

Kenapa ada masanya waktu fajar/senja lewat dan sebaliknya


Negara kita terletak berhampiran garis khatulistiwa, oleh itu ramai yang menyangka bahawa matahari akan terbit hampir sama waktunya pada setiap tahun. Hakikatnya masa matahari terbit adalah berjulat 6.46am - 7.17am, dengan fajar terawal pada 1 November dan terlewat pada 9 Februari. Pada masa yang sama, terbenamnya matahari atau senja pula berjulat 6.50pm - 7.21pm, dengan senja terawal pada 5 November dan terlewat pada 13 Februari.

Pada masa ini, kita semestinya menyedari bahawa waktu subuh dan senja adalah lambat; ini adalah kerana kita berada dalam tempoh fajar/senja terlewat (9 Februari/13 Februari).

Fenomena ini dinamakan sebagai Analemma. Fenomena ini berlaku apabila kita mendapati bahawa kedudukan matahari adalah tidak sebagaimana masa pada jam kita. Sebagai contoh, pada jam 12.00 tengahari, matahari sepatutnya berada ditengah-tengah, tetapi sebaliknya apabila berlakunya fenomena Analemma, matahari mungkin telah berada pada kedudukan seperti sekitar pukul 1.00 ptg atau pada sekitar pukul 11.00 pg.

Fenomena ini berlaku kerana;
  1. Kedudukkan bumi yang miring 23.5 darjah pada satah orbit mengelilingi matahari
  2. Bumi tidak mengorbit matahari secara bulatan, tetapi secara membujur.
Fenomena ini tidak meninggalkan kesan yang jelas di garis khatulistiwa, tetapi kesannya amat jelas di bahagian Hemisfera Utara dan Hemisfera Selatan. Di khutub utara, masa siangnya lebih panjang berbanding malam. Sebaliknya di khutub selatan, masa siangnya lebih pendek berbanding siang. Di negara-negara Eropah, mereka terpaksa menggunakan amalan 'masa penjimatan siang' atau Daylight saving time di mana terdapatnya amalan mencepatkan jam supaya tengahari lebih panjang berbanding pagi. Masa dipercepatkan satu jam pada musim bunga dan dilambatkan satu jam pada musim gugur.

Fenomena ini juga merujuk kepada kedudukan matahari di langit. Jika kita dapat menentukan atau memetakan kedudukan matahari dilangit sepanjang tahun, kita akan dapat satu diagram berbentuk 8, atau lebih dikenali sebagai Rajah laluan lapan atau figure-8 path.

Oleh itu, jika kita merujuk kepada kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah dari azimut 235 darjah hingga 295 darjah. Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas kaabah berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai, kira-kira jam 5.28 petang. Pada 2 tarikh tersebut kita dapat menentukan arah kiblat dengan betul berdasarkan arah terbenamnya matahari. Sebagai rujukan, arah kiblat di negara kita adalah 291 darjah.

Sekadar Renungan: Al-Quran menjelaskan bahawa alam dan segala kandungannya adalah ciptaan Maha Pencipta, Allah s.w.t. Dia telah memerintahkan kepada orang yang dikurniakan akal fikiran itu agar mengamati kejadian di alam cakerawala ini. Oleh kerana itu manusia perlu mengkaji mengenai rahsia-rahsia alam yang masih tidak diketahui. Allah s.w.t bukan sahaja Pencipta Alam, tetapi juga memelihara, mengawal, dan mengurus segala juzuk alam daripada sekecil-kecil hingga yang sebesar-besarnya. Semuanya tunduk kepada hukum dan peraturan yang telah ditetapkan. Allah Maha Besar!

1 comment:

Webmaster@Echam said...

Menarik info aok bagi wehhh.... Tima kasih....