Tuesday, December 1, 2009

Gegaran gempa bumi datang lagi


Kawasan Sesar K. Lumpur yang diwakili oleh lembah
Bukit Tinggi, Bentong


Baru-baru ini kita telah dikejutkan lagi dengan beberapa siri gegaran gempa bumi berskala kecil di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia seperti di Manjung, Jerantut dan Bukit Tinggi. Terbaru berlaku lagi gegaran kecil di Kuala Pilah pada beberapa hari lepas. Dari tahun 2007, Semenanjung Malaysia telah mencatatkan sehingga 40 gegaran di beberapa kawasan.

Kejadian demikian adalah mungkin berpunca dari pergerakan kerak bumi untuk melepaskan tegangan, regangan dan mampatan dalam batuan. Proses ini selalunya melibatkan pergerakan pada kerak bumi di sepanjang garis/zon sesar. Kekuatan gegaran bergantung kepada jumlah tenaga yang tersimpan dalam batuan. Semenanjung Malaysia pada amnya mempunyai beberapa garis/zon sesar yang besar dan panjang. Antaranya termasuklah Sesar Lebir, Sesar Lepar dan Sesar Kuala Lumpur. Gegaran yang berlaku di Bukit Tinggi dan K. Pilah adalah dikaitkan dengan garis/zon Sesar Kuala Lumpur yang mempunyai kelebaran sehingga 15km dan 70 km panjang.

Apa yang koi suarakan di sini adalah peranan agensi/jabatan kerajaan yang sepatutnya dirujuk apabila berlakunya kejadian sedemikian. Kita semua maklum bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia adalah jabatan yang penting dalam memberikan laporan/makluman berkenaan kejadian gempa bumi. Sedarkah kita bahawa kita mempunyai satu lagi jabatan kerajaan yang relaven dalam memberikan laporan dan makluman berkenaan kejadian tersebut iaitu Jabatan Mineral & Geosains Malaysia (JMG) (dahulunya dikenalisebagai Jabatan Penyiasatan Kajibumi).

Tujuan koi bukan untuk merendah-rendah fungsi Jabatan Meteorologi Malaysia, tetapi peranan sedemikian sepatutnya dijalankan oleh JMG. JMG mempunyai kepakaran dalam menjelaskan kenapa berlakunya kejadian tersebut berlaku dan merekalah sepatutnya yang memantau kejadian tersebut (Bahagian Geofizik) dengan dibantu oleh ahli kajibumi dari IPTA/swasta. Jabatan Meteorologi lebih releven dalam melaporkan cuaca semasa seperti ribut petir, hujan lebat dan sebagainya.

Terdapat beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang tidak tepat, antaranya seperti kejadian gegaran di Bukit Tinggi adalah disebabkan penstabilan batu-bata. Istilah batu-bata amat tidak sesuai digunakan kerana ia merujuk kepada batu untuk pembinaan bangunan. Istilah batu-batan adalah lebih sesuai digunakan kerana kerak bumi dibina oleh perbagai jenis batu-batan. Jabatan Meteorologi sepatutnya hanya melaporkan/merekodkan kejadian gegaran dan bukannya menjelaskan bagaimana gegaran boleh berlaku.


1 comment:

um. masyitah said...

Salam terima kasih atas perkongsian ilmu ini