Wednesday, December 30, 2009

Bekas lombong bijih besi, Bukit Besi, Dungun


Sebahagian dari permatang Bukit Besi.



Tinggalan bekas bijih besi yang kini mengalami hakisan terutama apabila hujan membentuk mesa dan canyon kecil. Hakisan alur dapat diperhatikan pada tebing-tebing cenuram.



Pengenapan lapisan demi lapisan membentuk perlapisan longgokan.


Perlapisan dapat diperhatikan dengan jelas dalam foto ini bersama hakisan alur seolah-oleh membentuk delta-delta kecil.

Lombong bijih besi, Bukit Besi, Dungun, Terengganu

Sunday, December 27, 2009

G. Kinabalu, Kundasang, Sabah


Gambar ini koi ambik dari Wikipidea. Jika bernasib baik, kita boleh nampak puncak-puncak Gunung Kinabalu. Berketinggian 4,095 m, ke-6 tertinggi di Asia Tenggara dan ke-40 di dunia. Ketinggian asal Gunung Kinabalu dipercayai lebih tinggi iaitu antara lima hingga lapan kilometer (km) dari ketinggian sekarang. Bagaimanapun hakisan yang berlaku selama berjuta-juta tahun, menyebabkan paras Gunung Kinabalu kini hanya tinggal 4,095m.



Selama 3 hari koi di sana, hanya pada hari ke-3 koi dapat melihat kemuncak Gunung Kinabalu. Ini adalah kerana awan tebal sentiasa menutup kemuncaknya. Pada mulanya koi tidak merasa apa-apa mengenai G. Kinabalu yang pada koi sama sahaja dengan puncak-puncak gunung lain; tetapi apabila awan membenarkan koi melihat sebahagiannya sahaja, timbul keinginan yang mendalam untuk mendakinya suatu masa nanti. Koi mesti sampai kekemuncaknya nanti!




Kundasang ketika ini amat berbeza dengan keadaanya pada 20 thn lalu di mana kini terdapat pelbagai jenis tanaman pertanian menghiasi kebanyakan pemandangan di sini. Kawasan ini berpotensi untuk dimajukan sebagai industri pelancongan. Walau bagaimanapun, seperti kebanyakan kawasan tanah tinggi yang lain, berhadapan dengan ancaman gelinciran tanah bukanlah perkara baru. Antara faktor gelinciran tanah adalah disebabkan usia pembentukan batuan yang muda yang berusia tertiari (65-5 juta tahun) mengikut dalam skala usia geologi di tambah dengan kehadiran struktur-struktur sesar yang banyak terdapat dalam batuan di kawasan tersebut.




Awal bulan Disember baru ini, koi berkesempatan ke Kundasang, Sabah untuk menghadiri kursus di sana untuk melihat gelinciran tanah atau lebih dikenali sebagai Kompleks Gekinciran Tanah Kundasang. Di Kundasang terdapat dua kemudahan hotel, koi menginap di Hotel Mt. Kinabalu. Suhunya lebih sejuk berbanding C. Highlands dan G. Highland.

Thursday, December 24, 2009

Alhamdulillah..


disaat waktu berhenti...kosong
dimensi membutakan mata
memekakkan telinga
lalu diri menjadi hampa
saat paradigma dunia tak lagi digunakan untuk meneka
sedarku akan hadirmu
mematahkan sendi-sendi yang biasanya tegak berdiri

sujudku pun takkan memuaskan inginku
untuk ku hantar sembah sedalam kalbu
adapun kusembahkan syukur padamu ya Allah
untuk nama, harta dan keluarga yang mencinta
dan perjalanan yang sejauh ini tertempa

alhamdulillah atas pilihan dan kesempatan
yang membuat hambamu ini
mengerti lebih baik makna diri
semua lebih bererti akan mudah dihayati
Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah....

Tuesday, December 22, 2009

Counting Crows - A Long December

Koi suka lagu omputih ni..... lagu ni mengingatkan koi bahwa bulan Disember merupakan bulan terakhir sesuatu tahun... bulan untuk muhasabah diri. Apa pencapaian kita pada sesuatu tahun itu dan apa pula perancangan kita pada tahun akan datang. Habis sahaja bulan Disember, tanpa kita sedari usia kita semakin bertambah setahun. The days go by so fast.......


Monday, December 14, 2009

Rerama Kuning



Name: Indonesian Moon Moth
Latin: Actias maenas

Rerama berekor panjang yang berasal dari Indonesia ini koi jumpa di Tapah. Bukan orang-orang Indonesia sahaja yang ramai berada di Malaysia, malah rerama dari Indon pun turut terbang dan berada di Malaysia.

Sunday, December 6, 2009

Laporan siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Disember 2008


Selepas “pertikaian” selama dua minggu antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor, Kabinet akhirnya membenarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendedahkan kepada umum laporan siasatan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Disember tahun lalu. Punca utama kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 5 nyawa tersebut adalah disebabkan saluran paip yang pecah di bahagian atas cerun. MPAJ dengan bantuan kerajaan pusat telah menanggung kos pembaikian tersebut yang melibatkan jutaan ringgit. Sebaliknya pihak pemaju tidak bertanggungjawab langsung dalam pembaikian tersebut dan menyatakan bahawa itu adalah kejadian tuhan.

Dah 2 minggu koi simpan laporan ni tapi tak boleh publish sebab masih di bawah Akta OSA. Kepada yang berminat untuk membaca laporan tersebut boleh muat turun di sini.

Tuesday, December 1, 2009

Gegaran gempa bumi datang lagi


Kawasan Sesar K. Lumpur yang diwakili oleh lembah
Bukit Tinggi, Bentong


Baru-baru ini kita telah dikejutkan lagi dengan beberapa siri gegaran gempa bumi berskala kecil di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia seperti di Manjung, Jerantut dan Bukit Tinggi. Terbaru berlaku lagi gegaran kecil di Kuala Pilah pada beberapa hari lepas. Dari tahun 2007, Semenanjung Malaysia telah mencatatkan sehingga 40 gegaran di beberapa kawasan.

Kejadian demikian adalah mungkin berpunca dari pergerakan kerak bumi untuk melepaskan tegangan, regangan dan mampatan dalam batuan. Proses ini selalunya melibatkan pergerakan pada kerak bumi di sepanjang garis/zon sesar. Kekuatan gegaran bergantung kepada jumlah tenaga yang tersimpan dalam batuan. Semenanjung Malaysia pada amnya mempunyai beberapa garis/zon sesar yang besar dan panjang. Antaranya termasuklah Sesar Lebir, Sesar Lepar dan Sesar Kuala Lumpur. Gegaran yang berlaku di Bukit Tinggi dan K. Pilah adalah dikaitkan dengan garis/zon Sesar Kuala Lumpur yang mempunyai kelebaran sehingga 15km dan 70 km panjang.

Apa yang koi suarakan di sini adalah peranan agensi/jabatan kerajaan yang sepatutnya dirujuk apabila berlakunya kejadian sedemikian. Kita semua maklum bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia adalah jabatan yang penting dalam memberikan laporan/makluman berkenaan kejadian gempa bumi. Sedarkah kita bahawa kita mempunyai satu lagi jabatan kerajaan yang relaven dalam memberikan laporan dan makluman berkenaan kejadian tersebut iaitu Jabatan Mineral & Geosains Malaysia (JMG) (dahulunya dikenalisebagai Jabatan Penyiasatan Kajibumi).

Tujuan koi bukan untuk merendah-rendah fungsi Jabatan Meteorologi Malaysia, tetapi peranan sedemikian sepatutnya dijalankan oleh JMG. JMG mempunyai kepakaran dalam menjelaskan kenapa berlakunya kejadian tersebut berlaku dan merekalah sepatutnya yang memantau kejadian tersebut (Bahagian Geofizik) dengan dibantu oleh ahli kajibumi dari IPTA/swasta. Jabatan Meteorologi lebih releven dalam melaporkan cuaca semasa seperti ribut petir, hujan lebat dan sebagainya.

Terdapat beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang tidak tepat, antaranya seperti kejadian gegaran di Bukit Tinggi adalah disebabkan penstabilan batu-bata. Istilah batu-bata amat tidak sesuai digunakan kerana ia merujuk kepada batu untuk pembinaan bangunan. Istilah batu-batan adalah lebih sesuai digunakan kerana kerak bumi dibina oleh perbagai jenis batu-batan. Jabatan Meteorologi sepatutnya hanya melaporkan/merekodkan kejadian gegaran dan bukannya menjelaskan bagaimana gegaran boleh berlaku.