Tuesday, December 16, 2008

Keratan Akhbar Sinar Harian (17Okt08)


PENEMUAN FOSIL DI ARING, GUA MUSANG MENAKJUBKAN
Oleh: Suhaiza Abu Bakar

Penemuan fosil cengkerang yang berusia ratusan juta tahun lalu yang ditemui baru-baru ini mampu memberikan banyak manfaat untuk dijadikan bahan penyelidikan pelajar geologi di universiti tempatan. Fosil adalah tinggalan bahagian haiwan atau tumbuhan zaman prasejarah oleh proses semula jadi dan terawet dalam batuan sedimen. Bidang kajian fosil dipanggil Paleontologi.

Penemuan fosil cengkerang marin yang terdapat di cerun batuan di sepanjang jalan raya baru antara Felda Chiku 1 dengan Felda Aring (Aring,Gua Musang-Kuala Berang) oleh penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Rosli Othman, 32 adalah hasil daripada penyelidikan Sarjana beliau di universiti tersebut.

Ahmad Rosli yang juga Pegawai Kajibumi di Jabatan Mineral & Geosains Kelantan berkata, beliau sebenarnya tidak menyangka dengan hasil penemuan pelbagai spesies ammonoid itu berikutan berdasarkan kajian sebelum ini hanya terdapat dua rekod penemuan fosil ammonoid yang sedikit di kawasan Aring iaitu pada tahun 1963 dan tahun 1990.

"Kajian yang dijalankan mendapati kawasan Aring pada 245 hingga 208 juta tahun lampau pernah dilitupi lautan yang dihuni oleh cengkerang primitif dan penemuan yang saya lakukan ini menyokong kenyataan itu. Antara fosil yang boleh ditemui termasuklah fosil ammonoid (sotong bercengkerang) seperti Frankites dan fosil bivalvia seperti Daonella. Semua cengkerang ini telah pupus sama sekali akibat perubahan iklim global dan bentuk muka bumi," katanya kepada sinar harian. Menurutnya, penemuan seumpama itu boleh ditemui di Temerloh, Pahang, Semanggol, Perak dan Yong Peng, Johor dan ini menunjukkan bahawa kawasan-kawasan tersebut pernah dilitupi lautan pada ratusan juta lalu.

Katanya, letusan gunung berapi kerap berlaku di kawasan Aring dan kemungkinan besar menyumbang kepada kepupusan cengkerang berkenaan. Himupunan fosil yang tidak ternilai harganya itu perlu dipelihara agar generasi akan datang dapat mempelajari mengenai kehidupan lampau yang sudah lama wujud sebelum kewujudan manusia di muka bumi iaitu kira-kira 200 ribu tahun lalu.

Fosil mempunyai banyak kepentingan saintifik termasuk sebagai penunjuk usia, rekod evolusi, spesimen rujukan dan sebagainya. Oleh itu, diharapkan dengan hasil penemuan itu dapat memberikan dimensi baru dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kewujudan kehidupan sebelum manusia di kawasan itu dan sekali gus dapat memberi peluang lebih banyak lagi penyelidikan dapat dilakukan supaya lebih banyak penemuan baru dapat dilakukan.

Ini kerana, kawasan seumpama itu yang menjadi hidupan makhluk prasejarah sepatutnya dipelihara supada ia dapat dijadikan rujukan dan menunjukkan bahawa anak tempatan juga mempunyai kepakaran menjalankan penyelidikan sedemikian sehingga penemuan itu berhasil.


No comments: